(Oleh Al-Anisah Mai) dipetik dalam Prof. Dr. Hamka (1996).
> Tasawuf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Halaman
> 337-343.
> Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Kerana dihadapanmu
> terbentang kesempatan untuk menunaikan yang sulit-sulit.
> Segala perbuatanmu dihargai orang, engkau beroleh pujian di
> mana-mana. Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh. Di hadapan
> engkau terhampar permaidani kepujian, sebab itu engkau
> beroleh kebebasan dan kemerdekaan.
> Jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu! Kerana
> engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit
> kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkanlah
> hatimu kerana tiada orang yang akan hasad dan dengki kepada
> engkau lagi,lantaran kemiskinanmu. Kefakiran dan kemiskinan
> adalah nikmat, yang tidak ada jalan bagi orang lain buat
> kecil hati, dan tidak ada pintu bagi kebencian.
> Kalau engkau dermawan, senangkanlah hatimu! Kerana dengan
> kedermawanan engkau dapat mengisi tangan yang kosong, telah
> dapat menutup tubuh yang bertelanjang, engkau tegakkan orang
> yang telah hampir roboh. Dengan sebab itu engkau telah
> menuruti perintah hatimu dan engkau beroleh bahagia:
> Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan menghantarkan
> pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu. Kesenangan
> hatimu yang tadinya cuma satu, sekarang akan berlipat ganda,
> sebab banyak orang yang telah mengecap nikmatnya.
> Kalau engkau tidak kuasa jadi dermawan, itupun senangkan
> pulalah hatimu! Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu
> penyakit yang selalu menular kepada masyarakat manusia,
> iaitu tiada membalas guna, penghilangkan jasa. Mereka ambil
> kebaikan budi dan kedermawananmu itu jadi senjata untuk
> menjatuhkan tuduhan-tuduhan yang rendah. Saat yang demikian
> pasti datang kepada tiap-tiap dermawan, yang menyebabkan
> hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah, sehingga
> hilang kepercayaan kepada segenap manusia, disangka manusia
> tidak pembalas guna. Padahal langkah belum sampai lagi
> kepada puncak kebahagiaan dan beroleh ampunan dari Tuhan.
> Kalau engkau masih muda remaja senangkanlah hatimu! Kerana
> pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih
> rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh.Sebab
> umurmu masih muda, mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi
> kenyataan yang sebenarnya.
> Kalau engkau telah tua, senangkan pulalah hatimu! Kerana
> engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan
> yang sengit, dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang
> berguna di dalam sekolah hidup. Engkau telah tahu firasat,
> mengerti gerak geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan
> yang ditempuhnya. Oleh sebab itu segala pekerjaan yang
> engkau kerjakan itu kalau engkau suka lebih banyak akan
> membawa faedah dan lebih banyak tersingkir daripada bahaya.
> Satu detik daripada umurmu di masa tua, lebih mahal harganya
> daripada bertahun-tahun di zaman muda, sebab semuanya telah
> engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman
> yang pahit.
> Kalau engkau dari turunan yang mulia-mulia, tenangkanlah
> hatimu! Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati
> tiap-tiap sahabat itu. Kalau engkau memang di dalam kalangan
> sahabat yang banyak itu, lazat rasanya kemenangan dan kalau
> kalah tidak begitu terasa. Lantaran banyaknya orang yang
> menghargai dan memperhatikan engkau, engkau dapatlah insaf,
> tandanya dirimu mahal dan timbanganmu berat.Yang penting
> adalah engkau dapat keluar dari penyakit mementingkan diri
> seorang, memandang hanya engkau yang benar, lalu masuk ke
> dalam daerah yang baru, iaitu mengakui bahawa ada lagi orang
> lain yang pintar, yang berfikir dan kuasa menimbang.
> Jika musuhmu banyak, senangkan pulalah hatimu! Kerana
> musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan
> yang tinggi. Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya
> pekerjaan yang engkau kerjakan.Tiap-tiap bertambah maki
> celanya kepada engkau, atau hasad dengkinya, atau mulutnya
> yang kotor atau perangainya yang keji, bertambahlah teguhnya
> pendirianmu bahawa engkau bukan barang murah, tetapi barang
> mahal, dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahanmu,
> engkau dapat beroleh pelajaran. Mula-mula maksudnya hendak
> meracunimu dengan serangan-serangannya
> yang kejam dan keji, maka oleh engkau sendiri, engkau
> saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat dirimu mana
> yang berfaedah, engkau buangkan mana yang salah. Ingatlah:
> Pernahkah seekor burung helang yang terbang membubung tinggi
> memperdulikan halangan burung layang-layang yang
> menghalanginya?
> Kalau badanmu sihat, senangkanlah hatimu! Tandanya telah
> ternyata pada dirimu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmatNya,
> lantaran badan yang sihat, mudahlah engkau mendaki bukit
> kesusahan dan menempuh padang kesulitan.
> Kalau engkau sakit, senangkan pulalah hatimu! Kerana sudah
> ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan di
> antara dua alam yang dijadikan Tuhan iaitu kesihatan dan
> kesakitan. Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang
> kuat, kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu, baik
> kesembuhan dunia ataupun kesembuhan yang sejati.
> Kalau engkau menjadi orang luar biasa, senangkan hatimu!
> Kerana pada tubuhmu terdapat cahaya yang terang-benderang
> tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang sehingga
> menimbulkan kesuburan dalam fikiranmu, dilihatNya otakmu
> sehingga cerdas, dilihatNya matamu sehingga jadi azimat,
> dilihatNya suaramu sehingga jadi sihir. Bagi orang lain,
> perkataan dan tiap-tiap suku kalimat yang keluar dari
> mulutnya hanya menjadi tanda bahawa dia hidup saja. Tapi
> bagi dirimu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan
> bersemangat, boleh meninggikan, boleh memuliakan dan
> menghinakan, sehingga bolehlah engkau berkuasa berkata
> kepada alam: “Adalah”, sehingga diapun “ada”.
> Kalau engakau dilupakan orang, kurang dikenal, senangkan
> pulalah hatimu! Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu
> mulut tidak banyak mencacatkanmu, tidak ada orang lain yang
> dengki kepadamu, tak ada orang yang meniatkan jatuhmu, mata
> tak banyak memandangmu. Itu, dihadapanmu ada puncak bukit
> dan engkaupun salah seorang dari anggota masyarakatmu. Rumah
> batu yang indah, berdiri di atas kumpulan tanah dan
> pasir-pasir yang kecil. Dengan demikian itu, engkau akan
> merasai kesenangan hati yang kerapkali tidak didapat oleh
> yang bibirnya tak pernah merasai air hidup dan rohnya tak
> pernah mandi di dalam kolam ilham.
> Kalau sahabatmu setia kepadamu, tenangkanlah hatimu! Kerana
> pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau
> kekayaan yang paling kekal.
> Kalau kawanmu khianat, senangkan juga hatimu! Sebab kalau
> kawan-kawan yang khianat itu mungkir dan meninggalkan
> engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat
> Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperhambakan,
> senangkanlah hatimu! Sebab penjajahan dan perhambaan membuka
> jalan bagi bangsa yang terjajah atau diri yang diperhamba
> kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu. Itulah
> perjuangan yang menentukan hidup atau mati, dan itulah yang
> meninggalkan nilai. Ketahuilah bahawa tidaklah didapat suatu
> bangsa yang terus menerus dijajah.
> Jika engkau dari bangsa merdeka, senangkanlah hatimu! Sebab
> engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan
> bangsa-bangsa yang lain, ada bagimu kesempatan mencari
> kekuatan baru. Kemerdekaan itu mesti diisi dengan
> bahan-bahan yang baik, dan bagimu terbuka kesempatan yang
> seluas-luasnya untuk itu.
> Kalau engkau hidup dalam kalangan orang-orang yang kenal
> akan diri dan cita-cita engkau, senangkan hatimu! Kerana di
> sana engkau dapat mengusahakan tenaga muda
> setiap hari, dan kekuatan pun bertambah, roh serta semangat
> menjadi baru. Engkau bertambah subur dan tegak, menaungi
> lautan dan daratan.
> Kalau engkau hidup dalam kalangan masyarakat yang masih
> rendah, yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita
> orang, sehingga engkau merasa ’sial-dangkal’, maka
> senangkanlah hatimu! Kerana dengan sebab itu engkau beroleh
> kesempatan jadi burung, lebih tinggi terbangmu daripada
> orang-orang yang patah sayap itu. Engkau boleh melayang ke
> suatu langit khayal, untuk mengubati fikiranmu yang gelisah,
> untuk melepaskan dahaga jiwamu.
> Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah
> hatimu! Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau
> telah masuk daftar orang yang terpilih. Tuhan telah
> memperlihatkan belas kasihan-Nya kepadamu lantaran
> pergaduhan hati sesama makhluk. Dua jiwa di seberang masyrik
> dan maghrib telah terkongkong di bawah satu perasaan di
> dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui
> rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya
> dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan
> ketelingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian dua
> jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain
> terbenam. Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan
> ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersunggguh-sungguh.
> Jika engkau mencinta tetapi cintamu tidak terbalas,
> senangkanlah hatimu! Kerana sesungguhnya orang yang mengusir
> akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang
> diusirnya itu setelah ia jauh dari matanya, dia akan cinta,
> cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran
> hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian
> meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Sehingga
> lantaran itu hati akan bersih laksana bejana kaca yang penuh
> berisi air khulud, air kekal yang dianugerahkan Tuhan.
> Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat
> merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, akan ada pada
> yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima
> menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya tanggunganmu,
> kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi
> membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang
> engkau tak tahu bila lalunya. Hendaklah engkau menjadi orang
> besar, yang sanggup memikul cinta yang
> besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang
> rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan
> jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan
> teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar tertempat oleh
> manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup ini berdiri di
> seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh
> kerinduan kita sendiri.
> Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hatimu atas semua
> keadaanmu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat
> banyak tak terbilang kesulitan perjalanan hidup kian minit,
> kian baru.
> Merasa senanglah selalu!
> Merasa tenteramlah!
No comments:
Post a Comment